KUALA LUMPUR – Subsidi bersasar merupakan dasar yang tepat namun harus dilaksanakan dengan cara yang efisien agar dapat memberi kesan positif.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam masa yang sama, tumpuan harus diberikan kepada menentukan strategi untuk memastikan keperluan asas rakyat khususnya pengguna tidak terdedah kepada monopoli dan eksploitasi akibat perubahan dasar.
Jelas beliau, penting untuk kerajaan memastikan perusahaan domestik dikembangkan bagi menampung dan menstabilkan
keperluan dalam negara.
“Saya mengusulkan agar kebergantungan negara kepada sumber luar iaitu import terutama bahan makanan perlu diatasi dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Dengan yang demikian langkah mengutamakan pengeluaran dalam negara hendaklah diusahakan dengan mewujudkan insentif yang wajar kepada perusahaan tempatan,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Mohd Azmi mengalu-alukan langkah Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan kos sara hidup rakyat sebagai agenda pertamanya.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah pasti merupakan agensi hadapan dalam soal ini.
Selain itu, tambah beliau, MPPN juga perlu berperanan membantu
merealisasikan agenda Perdana Menteri.
“MPPN menyokong supaya kos sara hidup dalam hal makanan, utiliti, pengangkutan, kesihatan, perumahan dan pendidikan perlu menjadi tumpuan utama kerajaan dan harus disokong oleh pengeluar, peniaga dan pengguna,” katanya lagi. -MalaysiaGazette