SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai blok pembangkang di Selangor melainkan ada arahan daripada pucuk pimpinan susulan kerjasama gabungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang arahan tentang perubahan kedudukan BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Buat masa ini, kedudukan saya masih ketua pembangkang dan saya masih menunggu daripada pucuk pimpinan berkenaan status BN dalam kerajaan gabungan antara PH dan BN di peringkat Persekutuan.
“Belum ada apa-apa arahan, saya sedang menunggu. Insya-Allah sehari dua ini ada mesyuarat di peringkat Badan Perhubungan UMNO Selangor.
“Di situ mungkin akan ada beberapa pengumuman boleh dibuat oleh pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu,” katanya kepada pemberita di bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengatakan kedudukan wakil rakyat khususnya BN yang kini berada dalam blok pembangkang akan diketahui sehingga selesai pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Suee Lim berkata, setakat ini kedudukan ADUN BN masih kekal seperti sedia ada dan kedudukan mereka hanya akan berubah sekiranya beliau mendapat arahan daripada kepimpinan PH.
Dalam pada itu, Rizam juga mengesahkan wakil rakyat BN masih berperanan sebagai pembangkang dalam sidang DUN Selangor kali ini.
“Untuk sidang DUN kali ini, saya masih di blok pembangkang dan kita menjadi pembangkang untuk membuat semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Kita akan memastikan segala dasar yang dibuat kerajaan negeri ini memberi manfaat sebaik-baiknya kepada rakyat Selangor, khususnya ketika ini rakyat cukup terkesan dengan Covid-19 dan masalah ekonomi yang melanda dunia pada hari ini,” katanya.
Beliau juga berharap Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja ghairah untuk mengumumkan satu bajet bahkan perlu memastikan pelaksanaannya perlu dilihat secara menyeluruh kepada rakyat.
“Lebih-lebih lagi hari ini Kerajaan Negeri Selangor sudah menjadi kerajaan negeri di bawah kerajaan Pusat. Jadi banyak perkara yang kerajaan negeri boleh laksanakan khususnya berkenaan keperluan rakyat yang mendesak pada hari ini,” katanya.
Ditanya tentang mahu kekal dalam blok pembangkang sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Rizam bagaimanapun akur kepada pucuk pimpinan untuk meletakkan hala tuju BN di Selangor.
“Fokus saya adalah memperjuangkan nasib rakyat. Perjuangan ini tidak kira dalam kerajaan ataupun pembangkang. Kedua-dua blok ini mempunyai peranan yang cukup kuat untuk memastikan semak dan imbang, yang penting rakyat terbela di luar sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette