Datuk Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Dasar berbeza dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH) antara sebab kenapa gabungan yang memenangi 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menolak daripada menyertai Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu didedahkan bekas Pegawai Khas Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad yang merujuk manifesto PN tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Ada pihak mempertikaikan keputusan untuk tidak menyertai kerajaan pimpinan PH. Jawapannya mudah. Ini kerana PN dan PH mempunyai dasar yang berbeza. Dalam Manifesto PN tidak ada janji untuk mengiktiraf UEC tetapi dalam Manifesto PH ada janji tersebut.

“Jadi, bagaimana keadaannya jika dua parti yang berada dalam kerajaan yang sama mempunyai dua dasar berbeza? Dasar mana hendak dipakai? Dasar parti A atau dasar parti B?

“Stabilkah kerajaan itu apabila penyokong parti A desak supaya janji ditunaikan dan penyokong parti B desak jangan ditunaikan kerana ia bertentangan dengan dasar parti?” tanyanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin menjelaskan, ketika berkhidmat dengan mantan Perdana Menteri kelapan, dasar kerajaan ketika itu tidak mengiktiraf UEC.

Sebabnya, kata beliau, UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan pengajaran, kurikulum dan peperiksaannya ditadbir oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“Mereka akan menentukan sendiri kurikulum, silibus dan buku teks yang diguna pakai. Ini adalah di luar kawalan dan pemantauan kerajaan.

“UEC juga tidak tertakluk kepada kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dari segi pengajaran dan pembelajaran bahasa Kebangsaan, sejarah, budaya dan pembentukan identiti kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa.

“Ini berbeza dengan peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dikelola oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia yang patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau menegaskan, dalam pertemuan antara Dong Zong dan Muhyiddin ketika itu, isu pengiktirafan UEC dibangkitkan.

Katanya, jawapan Muhyiddin ketika itu mudah iaitu jika Dong Zong boleh menilai semula kurikulum, silibus dan buku teks yang diguna pakai agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, maka permintaan tersebut boleh dipertimbangkan.

“Oleh kerana saya diminta melihat isu ini, saya telah meminta pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengkaji kandungan buku teks yang diguna pakai di sekolah persendirian Cina yang melaksanakan peperiksaan UEC.

“Saya agak terkejut melihat kandungan buku sejarahnya. Dalam bab budaya orang Melayu dipaparkan gambar orang-orang Melayu mengelilingi Kaabah ketika mengerjakan fardu haji di Mekah dengan memakai baju Melayu bersamping dan wanitanya berbaju kurung.

“Lantas saya beristighfar. Inikah budaya masyarakat Melayu yang diajar kepada anak-anak di sekolah persendirian Cina? Sah mereka tidak memahami latar agama dan budaya masyarakat Melayu dengan mendalam,” katanya.

Jelas Marzuki, bagaimana hendak memupuk semangat perpaduan dan inklusiviti dalam sebuah masyarakat majmuk sekiranya apa yang diajar kepada anak-anak mengenai agama dan budaya kaum lain pun salah?

Beliau juga turut membelek beberapa helai muka surat buku tersebut dan membuat kesimpulan jika pun sijil UEC hendak diiktiraf oleh kerajaan, keseluruhan kurikulum, silibus dan buku teks itu mesti dinilai semula.

“Malangnya, Dong Zong tidak mahu membuat apa-apa perubahan. Kerana itu UEC tidak diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

“Ketika itu, pengiktirafan UEC hanya terhad kepada kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) khusus untuk kursus bahasa Mandarin. Itu pun disyaratkan calon mesti mempunyai kelulusan SPM.

“Ketika saya berada dalam kerajaan PH, isu UEC berbangkit lagi. Saya masih ingat seorang menteri DAP mempersoalkan kenapa sijil UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan? Saya menceritakan kepadanya pengalaman saya itu,” katanya.

Namun, menteri terbabit menyatakan tidak adil UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan sedangkan sijilnya diiktiraf oleh universiti di luar negara.

“Saya beritahu dia samalah dengan sijil Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Negeri seperti Sijil Tinggi Ugama (STU).

“Sijil ini diterima untuk kemasukan ke universiti-universiti di Timur Tengah, tetapi tidak diterima untuk kemasukan ke universiti-universiti awam di Malaysia.

“Sehinggalah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia diperkenalkan, barulah boleh digunakan untuk kemasukan ke IPTA tempatan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan model yang sama untuk UEC tetapi tidak mendapat maklum balas daripada menteri berkenaan sama ada setuju atau tidak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. memang sudah dijangka TULANG BELAKANGnya DAPIGS…..PENGKHIANAT BESAR UMNO dan B END
    segalanya kifarah ke muka sendiri

    jeritan…GAGAL/PENGKHIANAT/KATAK/.TEBUK ATAP/U TURN//MUNGKIR MANIFESTO NO ANWAR NO DAP CUKUPLAH kita menderita 22 bulan IGAUAN BURUK
    PAU2022 Tersenget2 MUKA ZAHID Untuk menyakinkan 2-3 juta ahli umno KITA AKAN TENTANG SEMUA
    akhirnya melingkup bersama kemunafikannya dgn MT2…TERTIPU akar umbi dapat ZAHID dan konconya Tumpang kasih dn nasib bawah ketiak dan kelengkang P akatan H ancing utk jawatan dan kuasa

Comments are closed.