Tengku Mahkota Johor ( TMJ) Tunku Ismail Ibrahim bersama jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Pablo meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC yang berkesudahan dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Takzim (JDT) bakal tampil sebagai pasukan bukan pilihan pada tahun depan walaupun menampilkan aksi cemerlang sebagai pemenang Liga Super sembilan kali berturut-turut pada musim ini.

Pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kelabnya tidak akan melabur dalam mendapatkan pemain baharu meskipun banyak pasukan lain sedang melakukan penambahbaikan untuk saingan musim depan.

Tambah baginda, rekod cemerlang JDT pada tahun ini juga berkemungkinan tidak mampu diulangi sekali lagi.

Pada musim ini JDT berjaya melengkapkan quadruple koleksi piala kelab tersebut selepas menjulang Piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Bukan itu sahaja, skuad JDT II yang beraksi di saingan Liga Perdana turut dinobatkan sebagai juara.

“Saya menganggap pada tahun 2023 ini, JDT adalah underdog kerana kami tidak melaburkan wang dan JDT bukanlah pasukan yang akan dicabar kerana kami lebih selesa untuk menjadi pasukan bukan pilihan ataupun underdog.

“(Selama) 10 tahun saya dalam industri bola sepak dan pada saya ini adalah kejayaan paling bermakna kerana kami menang banyak piala daripada pasukan bawah 12 tahun hinggalah ke pasukan utama dengan 35 perlawanan domestik tanpa kalah.

“Bagi saya ini adalah kejayaan yang paling hebat dalam karier saya di dalam industri bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan saya rasa perkara ini takkan boleh dimenangi lagi. Saya yakin 100 peratus tetapi kalau boleh pencapaian ini diulangi ianya sangat bagus tetapi saya sedar ianya sangat sukar,” kata TMJ seperti dipetik Flash Sukan.

Tunku Ismail menyatakan demikian pada sesi bersama media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai khabar angin perpindahan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed ke JDT, Tunku Ismail secara berseloroh mengatakan beliau tidak mengenali pemain kelahiran Kelantan itu. – MalaysiaGazette