Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lumpuh sekiranya mana-mana Ahli Parlimen yang masih berdepan kes mahkamah dilantik sebagai anggota Kabinetnya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, mereka mesti terus dihadapkan ke mahkamah sehingga didapati tidak bersalah dan dilepaskan sepenuhnya sebelum dilantik.

Menurut beliau, perkara itu sangat penting untuk membezakan kerajaan kini dan yang sebelumnya.

“Kita sedar bahawa selama ini YAB Perdana Menteri (sewaktu mengetuai barisan pembangkang) secara konsisten tegas dengan pandangan mahukan pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi.

“Nilai integriti, ketelusan dan salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota-anggota Kabinet yang mempunyai rekod bersih. Inilah masanya untuk membuktikan ketegasan tersebut!” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid menggesa Anwar melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid masih berdepan 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Jais menambah, MCW turut menegaskan pendirian bersetuju dengan pelbagai pihak yang mendesak agar Anwar tidak berkompromi atas sebarang alasan dalam membuat keputusan melantik Ahli Parlimen yang sedang didakwa di mahkamah sebagai anggota Kabinet.

Beliau memberitahu, Perdana Menteri perlu membuktikan kepada rakyat bahawa nilai integriti dan karisma pemimpin yang bersih serta bebas rasuah adalah keutamaan dalam anggota Kabinet bagi memartabatkan kembali nama Malaysia di persada dunia.

“MCW mewakili rakyat yang cintakan perjuangan antirasuah mengesa kerajaan terkini di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang mahu lakukan reformasi untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan peyelewengan wang rakyat.

“Hentikan kerakusan kuasa politik supaya semua Ahli Parlimen yang bakal dilantik dapat bertindak dan bekerja tanpa melatah dalam mainan politik kotor,” jelasnya.

Jais berharap agar semua anggota Kabinet yang bakal dilantik dapat berkhidmat dengan amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta senario ekonomi dunia yang semakin meruncing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast