SHAH ALAM – Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang memperoleh 82 kerusi Parlimen bakal menjadi cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.
Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, PH tidak boleh memandang rendah prestasi PN itu termasuk bersedia untuk kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi blok itu sejak tiga penggal lalu.
“Memang cabaran itu besar, kerana keputusan PRU15 prestasi PN melonjak kedudukan dan kekuatannya khususnya sokongan anak muda 18 hingga 30 tahun.
“Kita bersedia merancang, kalau ikut senario dan keputusan PRU15, kita kemungkinan akan mengalami cabaran yang bahaya termasuk hilang kerusi.
“Tetapi saya sentiasa berfikiran positif, keadaan ini akan berubah dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dan kita tahu kelemahan kita di mana,” katanya kepada MalaysiaGazette, di bangunan Annex, di sini hari ini.
Dalam PRU15 pada 19 November lalu, negara menyaksikan tiada satu pun blok politik yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, disusuli Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2), Parti Bangsa Malaysia (1) dan KDM (1).
Manakala Gerakan Tanah Air dan Parti Sarawak Bersatu pula gagal memperoleh sebarang kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, PH Selangor akan memperkenalkan konsep baharu dalam masa terdekat untuk mendepani PRN Selangor khususnya untuk mempertahankan 40 kerusi Dewan Negeri yang masih dalam blok kerajaan.
“Atas konsep baharu yang akan kita perkenalkan dalam masa terdekat ini, kemungkinan ada acuan terbaik untuk kita memperkuatkan pimpinan PH dan kerajaan negeri di Selangor.
“Kemungkinan juga kita mempunyai kelebihan, belum tahu lagi, atas kertas memang kita ada kemungkinan akan menghadapi kehilangan kerusi-kerusi.
“Tetapi kalau kita dapat mengorak langkah dengan baik mungkin susun strategi dengan baik dengan sebaran dan persediaan mencukupi, kita mungkin boleh mempertahankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette