KUANTAN – Seorang lelaki yang cuba meragut seorang pelajar perempuan di sebuah stesen minyak, di Genting Sempah, Bentong ditangkap orang awam dan abang ipar mangsa.

Bagaimanapun dua lagi rakan suspek berjaya melepaskan diri dalam kejadian pada jam 10.30 pagi Sabtu lalu seperti tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek yang berusia 34 tahun cuba melarikan diri menaiki motosikal bersama rakannya namun kawannya itu meninggalkan suspek untuk melarikan diri.

Seorang lagi rakan suspek yang bermotosikal turut melarikan diri.

Katanya, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah dan dadah kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk membantu siasatan.

“Dua orang lagi rakan suspek yang berjaya meloloskan diri menaiki motosikal dikenali sebagai ‘mad kelawar’ mempunyai sembilan kes jenayah lampau dan pernah ditangkap sebanyak 16 kali dan seorang lagi dikenali dengan panggilan ‘yun’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Zaiham berkata, mangsa yang sedang mengisi minyak tiba-tiba dihampiri oleh seorang lelaki tidak dikenali cuba meragut gelang tangan emas milik mangsa.

Katanya, mangsa menjerit dan minta pertolongan, ayah dan abang ipar mangsa terdengar jeritan mangsa dan terus mengejar suspek sebelum menangkap suspek dengan bantuan orang awam. 

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memburu kedua-dua mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Orang ramai yang berasa curiga terhadap individu atau kenderaan di kawasan persekitaran diminta menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau polis berdekatan. – MalaysiaGazette