KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan terhadap Hassan Saad selepas Ahli Parlimen Baling itu didakwa menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu.

“PDRM mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung tuduhan oleh Hassan ke atas Anwar. Siasatan kes berkenaan sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

“Malah kes turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya,” katanya.

Hassan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette