Hujan lebat dan longkang tersumbat menyebabkan air melimpah sedalam 3 kaki ke Lebuhraya Kajang SILK di laluan Putrajaya menghala Sungai Ramal Luar, Kajang kira-kira 5 petang tadi. Menurut JBPM Selangor air surut sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian. Foto: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan longkang tersumbat menyebabkan air melimpah kira-kira hampir satu meter (m) ke Lebuhraya Kajang SILK di laluan Putrajaya menghala Sungai Ramal Luar, Kajang kira-kira 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu, lapan buah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, hasil pemeriksaan oleh pihak bomba mendapati berlaku limpahan air ke jalan raya dipercayai akibat longkang tersumbat susulan hujan lebat selama lebih sejam.

“Anggaran kedalaman air ialah tiga kaki (0.91m) menyebabkan laluan terlibat tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan ringan. Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, tinjauan yang turut dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat pengendali lebuh raya berkenaan mendapati air surut kira-kira 30 minit kemudian.

“Pegawai Komander Operasi BBP Kajang bersama-sama PDRM telah membantu melancarkan aliran trafik dan tiada kerja-kerja penyelamatan mangsa dibuat,” katanya. – Bernama