Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dengan Penchala di Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kutipan tol di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) akan bermula 12.01 tengah malam pada Khamis 1 Disember 2022.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd, syarikat pemegang konsesi DASH berkata, kadar tol bagi kereta (kenderaan yang mempunyai dua gandar
dan tiga atau empat roda (tidak termasuk teksi dan bas) adalah sebanyak RM2.30.

Manakala kadar bagi lori (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda (tidak termasuk bas) sebanyak RM4.60; treler (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas) RM6.90; teksi RM1.20 dan bas RM2.30.

Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID.

Sehubungan itu, pengguna disarankan agar memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet adalah mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH.

Bahagian Operasi Lebuhraya DASH akan sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.

Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju.

Lebuhraya DASH sepanjang 20.1 kilometer itu telah dibuka kepada orang ramai secara percuma dibuka pada 14 Oktober lalu sehingga 30 November 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast