KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi.
Kata beliau, seramai 5,987 petugas akan ditempatkan di daerah yang dilanda banjir yang melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Penyelamat, polis, Ikatan Relawan Malaysia (Rela), tentera dan 10 agensi berkaitan.
“Mereka akan digerak bersama kira-kira 6,000 pelbagai aset termasuk kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan lain milik agensi berkenaan.
“Manakala jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebanyak 442 telah dikenal pasti yang mampu menampung seramai 170,180 mangsa,” katanya di Kota Bharu, hari ini.
Menurut Mumtaz, memandangkan Kelantan masih lagi menghadapi Covid-19, jumlah penempatan mangsa di PPS terpaksa dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi mencegah penularan jangkitan.
Mengenai persiapan bekalan makanan, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebuah depot simpanan keperluan bencana (DSKB), 17 sektor bencana di peringkat negeri, daerah, mini depot, kontena dan 156 pengkalan hadapan di seluruh negeri.
Kelantan ketika ini telah masuk musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga awal tahun depan. – MalaysiaGazette