Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Abbas Azmi.

SHAH ALAM – Pemuda Amanah Nasional menggesa polis membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan terhadap Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang menggelar Kerajaan Perpaduan sebagai ‘Kerajaan Zina’.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Abbas Azmi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Azman menghina keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Kenyataan Datuk Azman jelas mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ini tidak seharusnya berlaku terutama bagi ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya.

“ ‘Kerajaan Zina’ adalah perkataan yang sangat buruk di mana tidak ada bangsa dan agama yang boleh menerima perkataan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Tambah Abbas, selepas pasca PRU-15, banyak kenyataan melampau yang dibuat oleh PN yang boleh mengganggu kesejahteraan negara.

“Kalau lihat keputusan PRU-15, PN banyak mendapat sambutan dan undian terutama daripada golongan muda dan saya yakin mereka terpedaya dengan slogan Melayu Islam yang dibawa oleh PN.

“Namun apa yang dibuat oleh PN jelas tidak menunjukkan sikap sebagai sebuah parti Melayu Islam, terserlah perangai mereka yang tidak suka kepada keharmonian dan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Slogan Melayu Iislam jelas menampakkan slogan tersebut hanya retorik PN terutama  untuk berkempen di Padang Serai,” ujarnya.

Katanya, golongan muda harus sedar dan  melihat sendiri apa yang dilakukan oleh PN yang setiap hari mempertikaikan keabsahan kerajaan hari ini dan tidak menghormati keputusan demokrasi yang telah lama diamalkan di Malaysia.

Beliau memohon agar pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 1241 dan Seskyen 505(B) kanun keseksaan dan Seksyen (1) Akta Hasutan terhadap Datuk Azman.

Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap fitnah Kerajaan Perpaduan sebagai Kerajaan Zina, satu penghinaan kepada YDPA dan Raja -Raja Melayu di IPD Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim berkata, banyak isu dari segi fitnah dan tohmahan yang tidak berasaskan fakta timbul pasca PRU15.

“Setiap ungkapan yang dikeluarkan lebih mengganggu keharmonian negara, kita lihat bila kita hidup berbilang bangsa, kita tidak mahu ketegangan terlalu serius, akan berlakunya rusuhan kaum.

“Mereka yang membakar isu begini dilihat akan mendapat laba, tetapi kami dari Pakatan Harapan  fikir jauh ke hadapan kerana mahu Malaysia lebih maju, politik cakna, politik falsafah dan politik fakta.

“Bawakan fakta kita lawan hujah dengan hujah, bukan baling batu sembunyi tangan,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan fitnah supaya mereka ada rasa bertanggungjawab terhadap apa yang diungkapkan. -MalaysiaGazette