Hakisan pantai di Sungai Batu, Teluk Kumbar menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

TELUK KUMBAR – Peniaga di Kampung Sungai Batu, di sini, resah akibat dihantui ancaman hakisan pantai yang berlaku di sepanjang tebing berhampiran gerai mereka.

Keadaan itu menjadi lebih teruk apabila dua buah gerai yang mengusahakan perniagaan makanan serta minuman terpaksa menutup perniagaan selepas sebahagian gerai itu runtuh tiga hari lalu.

Menurut Mohd Zahid Abu Bakar, 57, mereka lapan sekeluarga hidup dalam ketakutan susulan bimbang sekiranya struktur konkrit gerai serta rumah mereka runtuh menghempap anak serta cucu mereka.

Mohd Zahid.

Jelas lelaki yang mengusahakan perniagaan mi rebus serta laksa sejak 15 tahun lalu itu, hakisan pantai tersebut berlaku sejak lima bulan lalu dan kemuncaknya Ahad lalu hingga menyebabkan sebahagian daripada gerainya runtuh.

“Kejadian berlaku pada jam 1 pagi dan ketika itu kami dengar seperti dinding rumah retak dan lima minit selepas itu terdengar dentuman kuat seperti benda jatuh.

“Saya bangun dan melihat sebahagian dapur gerai termasuk stor barangan perniagaan memasak runtuh sebelum mengarahkan anak serta cucu melarikan diri kerana bimbang rumah turut berdepan situasi sama.

Mohd Zahid menunjukkan sebahagian lantai gerainya runtuh akibat hakisan pantai di Kampung Sungai Batu.

“Saya dan isteri lihat runtuhan itu depan mata selain mendapati bawah kawasan runtuhan itu tanpa sebarang tanah atau pasir pantai,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Zahid berkata, hakisan pantai ini dipercayai berlaku susulan projek tambakan laut yang dilakukan di beberapa kawasan sekitar negeri ini.

“Apabila kawasan Tanjung Tokong, Gurney, Batu Uban ditambak jadi air laut datang ke kawasan rendah iaitu membabitkan Sungai Batu serta Teluk Kumbar sekali gus menjadikan kawasan ini berisiko hakisan.

“Kini ditambah pula dengan musim ribut keadaan menjadi lebih teruk. Bayangkan dulu jarak pantai dengan gerai serta rumah kami 50 meter tapi kini jaraknya terlalu dekat hingga ombak laut membadai lantai rumah,” katanya.

Seorang penduduk menunjukkan gerai minuman rakannya terpaksa ditutup akibat hakisan tanah.

Tambah Mohd Zahid, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz serta wakil Jabatan Pengairan Saliran (JPS) telah datang meninjau keadaan namun belum ada perancangan serta tindakan diambil setakat ini.

Tinjauan MalaysiaGazette turut mendapati sebuah lagi gerai minuman terpaksa menutup peniagaannya selain pita larangan ditempatkan susulan keadaan gerainya runtuh teruk.

Sementara itu, enam sekeluarga di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar turut mengalami nasib yang sama hingga menyebabkan mereka terpaksa menumpang rumah saudara.

Samsuar Hasshim, 44, berkata, rumah yang dibina pada 2017 itu runtuh bahagian tandas serta dapur menyebabkan dia, isteri serta empat anaknya menumpang di rumah sepupu.

Keadaan rumah Samsuar.

“Ribut berlaku jam 11.30 malam Ahad lalu ketika kami semua sedang tidur. Bila sedar nampak sebahagian rumah senget berikutan bahagian belakang runtuh.

“Ini kejadian pertama hingga menyebabkan sebahagian rumah runtuh jadi saya tak berani nak berteduh di sana bersama keluarga kerana bimbang seluruh rumah mungkin akan runtuh jika hakisan berlaku lagi.

“Kami harap dapat pindah segera ke rumah lain memandangkan saya ditawarkan skim perumahan sewa beli di kawasan Balik Pulau dengan bantuan pihak zakat,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan kira-kira 500 penduduk tinggal berhampiran pesisir pantai ini. -MalaysiaGazette

Video Berkaitan