Zainol Samah

MELAKA – Seorang warga emas lelaki berusia 60 tahun antara tujuh bookie atau ejen pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 yang ditahan polis dalam satu serbuan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9 malam, lelaki berkenaan yang sedang leka melihat telefon bimbitnya di sebuah kedai kopi di Malim dipercayai untuk menerima pertaruhan daripada pelanggannya.

“Warga emas itu adalah antara tujuh ‘bookie’ atau ‘punter’ berusia antara 22 hingga 60 tahun yang ditahan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka dalam enam serbuan berasingan pada Op Soga IX bermula 19 November hingga awal pagi tadi.

“Serbuan bagi membanteras pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 tanpa lesen yang sah itu melibatkan kawasan kedai dan rumah sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,416, tujuh telefon bimbit dan kertas-kertas pertaruhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 sehingga RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun.

“Polis Kontinjen Melaka menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti perjudian terutamanya pada musim Piala Dunia Qatar 2022 yang sedang berlangsung ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette