Kon Yeow (tengah) menunjukkan injap paip di LRA Sungai Dua yang diperlu ditukarkan PBAPP hingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di seluruh Seberang Perai bermula esok hingga Ahad ini.

SEBERANG PERAI – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan memastikan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini, disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Ia bagi memastikan gangguan bekalan air berjadual yang bermula esok hingga 4 Disember ini di seluruh Seberang Perai diselesaikan dalam tempoh kurang 48 jam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja penggantian injap 1,200 milimeter (mm) dan 1,350 mm di loji terbabit dan pembaikan paip berukuran 1,200mm diameter di Permatang Ara telah dikenalpasti sebagai kerja yang paling kritikal yang memerlukan 18 jam untuk dibaiki.

Kon Yeow (kiri).

Katanya, kerja-kerja penggantian injap yang telah digunakan sejak 45 tahun lalu itu wajib dilakukan bagi memastikan bekalan air bersih dapat terus disalurkan kepada penduduk setempat.

Jelas Kon Yeow, PBAPP telah membuat perancangan awal untuk mengelak gangguan bekalan air berterusan di mana kerja-kerja pembaikan yang disenaraikan itu digabungkan serta dilakukan pada masa sama bagi mengurangkan risiko pengguna berdepan gangguan bekalan air berulang kali.

“Penggantian injap baharu ini menyebabkan operasi loji terpaksa diberhentikan namun kita jangkakan bekalan air dapat disalurkan semula secara berperingkat selepas 36 jam.

Kon Yeow (tengah) menunjukkan injap baru yang akan digantikan untuk memastikan penduduk Pulau Pinang menerima bekalan air yang bersih.

“Bagaimanapun, kawasan perumahan berbukit dan bertingkat yang tidak mempunyai tangki air mungkin lambat menerima bekalan susulan tekanan air rendah.

“Justeru, kita sarankan semua penduduk menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam untuk kegunaan seisi rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Sungai Dua hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

Sebanyak 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual tersebut.

Daripada jumlah itu, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah, manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air. – MalaysiaGazette