Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berteka-teki mengenai pengumuman senarai barisan Kabinet.

Setakat jam 5 petang tadi,  tiada apa-apa perkembangan mengenai perbentukan Kabinet daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut jadual daripada PMO, Anwar berada seharian di pejabatnya dan tidak menghadiri apa-apa majlis berkaitan kerajaan hari ini.

Dalam jadual terbaharu yang dikongsikan PMO,  Anwar juga tidak akan berada di pejabatnya esok kerana akan menghadiri kenduri rakyat dan menunaikan solat Jumaat di Ipoh, Perak.

Beliau dijadualkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Istana Kinta jam 9 pagi esok.

Sekiranya tiada pengumuman senarai Kabinet hari ini dan esok, maka pengumuman itu kemungkinan besar dibuat pada minggu depan.

Kesimpulan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dijadualkan berlepas ke luar negara pada hujung minggu ini, sekali gus tiada apa-apa majlis angkat sumpah jawatan akan dibuat pada hari Sabtu atau Ahad ini.

Bagaimanapun, dalam jadual yang diberikan PMO, Anwar mempunyai masa terluang pada sebelah petang esok,  memungkinkan sesuatu akan berlaku.

Buat masa ini, Anwar yang dilantik Perdana Menteri pada 24 November lalu memerintah Putrajaya bersendirian selama dua minggu tanpa Jemaah Menteri.

Media beberapa hari ini kecoh dengan pelbagai spekulasi  nama-nama ahli Parlimen yang bakal menganggotai Kabinet yang diketuai Anwar. – MalaysiaGazette