Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan menerima deposit skim pelaburan tanpa lesen yang sah, berjumlah RM82,000 empat bulan lalu.

MELAKA – Seorang peniaga wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan menerima deposit skim pelaburan tanpa lesen yang sah berjumlah RM82,000 empat bulan lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Norsyazwany yang berasal dari Kupang, Kedah didakwa menerima wang deposit sebanyak RM82,000 daripada seorang wanita berusia 27 tahun tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan di Lot 857, Jalan Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu, Melaka antara 10 Jun 2022 hingga 10 Ogos lalu.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 137 (1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim menawarkan jaminan RM50,000 mengambil kira kerugian dialami pengadu selain tertuduh juga mempunyai kes berkaitan di mahkamah lain di negara ini membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang juga ibu kepada dua anak dan tidak diwakili peguam diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohd Sabri kemudian menetapkan 29 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette.