Pasukan forensik PDRM IPD Gombak terlibat dalam siasatan di rumah penyampai radio dalam kejadian hari ini, Ihsan IPD Gombak

GOMBAK – Seorang penyampai radio melalui detik mendebarkan apabila kediamannya yang terletak di Seri Aman Heights, Desa Jaya, di sini, terkena tembakan awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata,  Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang lelaki pada jam lebih kurang 1.50 pagi tadi mengenai insiden bunyi  tembakan itu.

“Pengadu memaklumkan mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan kediamannya.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut oleh pasukan polis dan forensik serta anjing pengesan K9 di lokasi kejadian menemui satu kesan lubang pada pintu kayu hadapan rumah dan kesan terkena peluru pada dinding ruang tamu.

Pasukan polis juga menjumpai satu serpihan besi iaitu anak peluru di bahagian ruang tamu rumah

Berikutan itu, kertas siasatan telah dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan melepaskan tembakan selain dari tempat yang dibenarkan.

Noor Ariffin berkata, motif atau punca sebenar kejadian itu masih sedang disiasat oleh polis untuk tindakan sewajarnya

Tambahnya, polis telah mempergiatkan usaha mengesan suspek yang terlibat dengan insiden tembakan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi segera Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 03-61262222 / 012-5018901. – MalaysiaGazette