Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin melalui Program Selangor Vaksin (SelVax) Mobile secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dataran Santai Ampang Point, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 16 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan cadangan menjual vaksin Covid-19 kepada negara luar.

Dalam masa yang sama Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya turut bercadang untuk menawarkan baki daripada Vaksin Selangor (Selvax) kepada buruh asing yang belum menerima suntikan.

“Dengan perebakan Covid-19 ketika ini, suntikan vaksin masih perlu cuma bukan dalam jumlah yang besar. Mungkin juga (Selvax) akan menjadi sebahagian sumbangan negeri kepada lokaliti lain.

“Kita perlu ingat dengan pembukaan sempadan pada masa akan datang kita juga boleh menawarkan kepada pekerja asing terutama buruh binaan yang mungkin belum mendapat vaksin,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang- Pas) mengenai perkembangan Program Selvax.

Terdahulu, Amirudin berkata, vaksin Covid-19 boleh bertahan sehingga selama tiga tahun atau sehingga awal 2024.

Sebagai rekod, kerajaan Selangor pada Jun 2021 memperuntukkan lebih RM200 juta untuk program Selvax Komuniti dan Selvax Industri.

Program berkenaan bagi melengkapkan dan mempercepat rakyat Selangor menerima vaksin Covid-19.

Sehingga 18 Oktober lalu, sebanyak 684,259 dos vaksin digunakan bagi program Selvax di negeri tersebut.-MalaysiaGazette