Pas Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Satu video memaparkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia ditularkan.

Menerusi video yang berdurasi satu minit 42 saat itu, Takiyuddin berkata, Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri mahupun pemimpin negara kerana disabitkan kesalahan dan dibicarakan di mahkamah tertinggi Malaysia, selain merupakan bekas banduan.

Bagaimanapun, sumber dalaman Pas menafikan ia video baharu sebaliknya memberitahu ia berlaku pada tahun 2019.

“Ia video lama dan ia dikeluarkan agensi berita Bernama pada tahun 2019,” ujar sumber tersebut.

Video Takiyuddin yang kembali tular di media sosial.

Jelasnya lagi, penyebaran video itu disifatkan sebagai permainan musuh politik Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas.

“Kerja perang saraf,” katanya ringkas.

Video tersebut merupakan petikan daripada kenyataan Takiyuddin selepas dipanggil oleh pihak polis di IPD Kota Bharu.

Ia ekoran daripada satu laporan polis yang dibuat oleh Pemuda PKR Cabang Ketereh berkenaan initipati ceramah Takiyuddin ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan pada 2019 yang dikatakan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Anwar.

Pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15, Pas bersama PN sudah mengambil ketetapan untuk menjadi pembangkang di peringkat Pusat walaupun memperolehi kedua kerusi terbanyak iaitu 73 kerusi. – MalaysiaGazette