Tiga individu termasuk pengadu antara dipanggil dan selesai dirakam keterangan oleh polis berhubung video viral memaparkan sekumpulan individu nyanyi lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Israel.

PETALING JAYA – Polis akan memanggil pemilik agensi pelancongan yang terbabit dalam video tular menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku  sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Israel.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, setakat ini tiga individu telah memberi keterangan dalam siasatan kes tersebut.

“Polis setakat ini telah memanggil dan merakam keterangan daripada tiga orang individu berkaitan dengan klip video berdurasi 47 saat itu yang tular di sebuah kumpulan WhatsApp.

“Setakat ini kita telah ambil keterangan daripada pengadu, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun pada 30 November lalu manakala dua lagi saksi telah tampil ke balai polis untuk dirakam keterangan semalam (Khamis),” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilik syarikat pelancongan terbabit kini berada di Makkah dan polis akan tunggu sehingga dia pulang ke tanahair pada 12 Disember untuk dipanggil membantu siasatan.

Semalam polis memaklumkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung video viral itu.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada September lepas melibatkan sekumpulan individu mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.- MalaysiaGazette