ACP A A. Anbalagan

SERDANG – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas rokok seludup bernilai RM166,500 di Puchong pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah teres dua tingkat yang terletak di Bandar Puchong Jaya.

Dalam serbuan pertama pada jam 1.30 tengahari itu, sebanyak 530 karton rokok seludup pelbagai jenama disyaki disorok dalam rumah tersebut dirampas.

“Berpandukan maklumat hasil soal siasat lelaki berusia 22 tahun yang jug suspek pertama, pasukan operasi kemudian membuat serbuan kedua di satu lagi rumah di Bandar Puchong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemeriksaan di dalam rumah kedua itu,  berjaya menemui sebanyak 1,320 karton rokok haram.

Kesemua rampasan rokok seludup di kedua-dua tempat berasingan itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM166,500.

Anbalagan berkata, kedua-dua rumah itu telah dijadikan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian sindiket dan dalang sebalik aktiviti haram itu.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette