Datuk Ikmarudin Ishak (kiri) bersama Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek.

ROMPIN – Sejumlah 95.88 peratus bersamaan 233 orang anggota polis telah mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua pengundi awal menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi membabitkan Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman.

Proses mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Ikmalruddin menerusi kenyataan hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada pihak SPR.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek  ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, kedua-dua peti undi di dua pusat mengundi itu telah disimpan di lokap IPD Rompin atas faktor keselamatan.

Kertas-kertas undi awal tidak akan dibuat pengiraan hari ini dan dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk dijaga dan akan dikira pada hari penjumlahan undi di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Rabu nanti.

Tambah Nasim, proses undi awal hari ini berjalan lancar membabitkan lima petugas di pusat mengundi IPD Rompin dan dua lagi petugas di Balai Polis Tekek.

“Peti undi dari Balai Polis Tekek telah selamat dibawa ke lokap IPD Rompin pada pukul 2.30 petang tadi dan disimpan bersama peti undi awal di sini.

“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dibuat pengiraan pada 7 Disember ini bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon,” katanya. – MalaysiaGazette