Home Nasional Anjing liar ancaman penduduk Bayu Nyaman

Anjing liar ancaman penduduk Bayu Nyaman

BAYAN LEPAS – Lebih 3,450 penduduk di Pangsapuri Bayu Nyaman di sini resah dengan ancaman anjing liar  sehingga terpaksa mengehadkan pergerakan serta menghalang anak-anak daripada keluar bermain.

Rata-rata penduduk mendakwa, masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun konflik manusia dan haiwan itu masih belum selesai sampai sekarang.

Kehadiran anjing menakutkan penduduk mahu keluar rumah.

Seorang penduduk, Mohd Jali Mustafa, 65, berkata, walaupun tiada kes penduduk diserang anjing setakat ini namun mereka takut ia berlaku memandangkan anjing berkenaan bukan peliharaan mana-mana pihak.

Situasi kini semakin membimbangkan apabila anjing berkenaan sering mengekori kanak-kanak serta wanita yang membawa bungkusan makanan, katanya.

Mohd Jali.

“Kadang-kadang bila kita berjalan bawa makanan, dia (anjing) ikut kita. Malah ada kanak-kanak pernah terjatuh akibat cuba mengelak anjing-anjing liar  mendekati mereka.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah anjing liar ini kerana ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati kira-kira lima ekor anjing berkeliaran di kawasan perumahan itu termasuk di kawasan tempat letak kereta serta motosikal.

Kawasan motosikal turut menjadi habitat anjing liar.

Selain itu, ada juga anjing yang berkeliaran di tingkat lima iaitu kawasan penempatan penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Marshila Adnan, 36, berkata, selain faktor ke­selamatan, kemunculan anjing liar itu turut menyebabkan kawasan taman itu dicemari najis anjing.

Jelasnya, mereka juga takut untuk keluar kerana bimbang diserang memandangkan setiap kali terserempak dengan manusia anjing itu akan mengekori secara dekat.

Marshila.

“Kadang keluar nak ambil kereta tiba-tiba anjing keluar dari bawah kereta mana tak terkejut. Kalau kita lari dia (anjing) tu kejar memanglah tak gigit tapi kalau kita terjatuh cedera siapa yang tanggung.

“Dulu sini bersih tapi tidak kerana  banyak anjing liar berkeliaran menjadikan kawasan ini sebagai habitat baru bagi mereka. Anjing liar ini perlu segera ditangkap untuk mengelak terus membiak.

“Saya harap pihak bertanggungjawab datang tangkap anjing liar ini dalam tempoh masa terdekat agar kami mampu jalani kehidupan seperti sebelum-sebelum ini,” katanya.  MalaysiaGazette