Irfan Zakaria. Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Ingin mendapatkan pengalaman baharu dan kembali bekerjasama dengan Datuk Ong Kim Swee menjadi antara faktor utama buat Irfan Zakaria memilih bersama Sabah pada musim 2023.

Menurut Irfan, dia tidak ada sebarang masalah sepanjang berada di Kuala Lumpur City FC malah mengakui dua musim terakhir ini antara detik terbaik dalam kariernya.

Dia juga menjelaskan bukan satu keputusan yang mudah untuk menerima tawaran Sabah malah mengambil masa yang lama sebelum mempertimbangkan segala pilihan yang ada.

“Dua tahun di Kuala Lumpur, saya rasa telah mendapatkan banyak kejayaan besar seperti tahun lalu memenangi Piala Malaysia pada usia 100 tahun dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Cheras.

“Musim ini, kami layak ke perlawanan akhir Piala AFC walaupun tanpa bajet yang besar,rahsianya semangat kekeluargaan yang menjadi kekuatan KL City dan saya tidak pernah ada masalah dengan pasukan.

“Mungkin bila dilihat faktor ini semua, saya tidak ada sebab untuk keluar dari pasukan namun keputusan saya ke Sabah adalah didorong kerana mahu mencari pengalaman baharu demi kemajuan karier.

“Bukan mudah saya buat keputusan ini malah dalam minggu lepas baharu saya memuktamadkan untuk ke Sabah kerana dalam masa sama turut berbincang dengan Bojan Hodak tentang perancangan KL City musim depan,” katanya.

Irfan menjadi tambahan terbaharu The Rhinos pada musim depan selain bekas penyerang PJ City, Darren Lok selepas diumumkan Sabah, semalam.

Memulakan karier secara profesional pada musim 2016 setelah bersama Harimau Muda, dia telah beraksi di Kuala Lumpur dari 2016 hingga 2019 sebelum ke Kedah pada musim 2020.

Namun, dia hanya sempat beraksi untuk satu musim bersama Kedah sebelum kembali bersama KL City untuk musim 2021 dan 2022.

Kembali bekerjasama dengan Kim Swee, Irfan tidak menafikan yang dia dan sebahagian besar rakan lain sudah memahami cara serta falsafah bola sepak yang diterapkan.

Justeru, dia melihat perkara itu mampu menjadi sedikit kelebihan buat Sabah bagi mengharungi musim 2023 selain turut berjuang di pentas Piala AFC.

“Saya sendiri pernah bekerjasama dengan Kim Swee semasa beraksi di skuad Bawah 23 tahun dan untuk ke sini, saya ada berbincang dengan beliau serba sedikit tentang taktikal musim depan.

“Jadi, mengenalinya sejak dahulu, saya dan sebahagian besar rakan-rakan lain yang pernah bersama-sama semasa Harimau Muda dan skuad Bawah 23, kami tahu cara dia bekerja sama ada dalam atau luar padang.

“Sedikit sebanyak kami mungkin boleh ikuti perancangan taktikal terbaharu yang beliau inginkan bagi harungi musim depan,” katanya. – MalaysiaGazette