Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menyaksikan Istiadat Mengangkat Sumpah Jemaah Menteri di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua lagi bakal timbalannya tiba di Istana Negara untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Kenderaan membawa Perdana Menteri memasuki Istana Negara melalui pintu satu pukul 2.37 petang dengan diiringi anggota pasukan keselamatan.

Dua lagi timbalannya iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba pukul 2.33 petang manakala Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof memasuki Istana Negara lebih awal iaitu pukul 2.30 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang turut menyaksiakan istiadat berkenaan dilihat memasuki Istana Negara pukul 2.15 petang.

Ia diikuti, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang tiba pukul 2.35 petang.

Majlis angkat sumpah jawatan Jemaah Menteri akan berlangsung petang ini di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seramai 28 menteri dilantik untuk menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri dalam karier politiknya.

Istiadat angkat sumpah pelantikan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15. – MalaysiaGazette