Shahidan Kassim. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 SEPTEMBER 2022.

KULIM – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, selesai.

Beliau berkata, ia ialah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) itu, mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 November lalu.

Beliau turut menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu mencatatkan kemenangan besar dan akan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Jadi selepas pilihan raya ini, saya ingat ‘askar-askar’ kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini, terus dengan pilihan raya negeri saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada PRU15 lalu PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis dan menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

PN turut menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu, serta menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah. – Bernama

2 Komen

  1. Sabar2.. jgn terlalu yakin sgt. Hidup ibarat roda sekejap di atas dan adakala di bawah. Sementara ada di atas tu cuba2 lah tengok kat bawah nanti kalu jatuh tak dak la tertiarap terus. Adakala dah menuju ke penghujung tu wajar beri peluang yang baharu agar lebih dihargai dan disanjung timggi.

  2. Sabar, jangan bawa perangai lama UMNO, buat PRU tergesa-gesa musim banjir. Masa panjang lagi, badai PRU lepas pun belum reda.

Comments are closed.