Fahmi Fadzil.- Foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung penyokong parti Perikatan Nasional (PN) yang menuntut balasan kerana pulang mengundi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi sangat bahaya.

“Rakaman video yang menunjukkan Datuk Seri Sanusi seolah-olah memberikan bayangan bahawa pengundi sama ada PRU15 telah diberi ganjaran atas undi mereka duit RM50, RM100 dan sebagainya.

“Sama ada cuba diselindungi sebagai dana untuk balik mengundi.
Tapi ia berulang dalam konteks Pilihan Raya Kecil Padang Serai.

“Saya percaya kenyataan beliau ini sangat bahaya dan wajar disiasat oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya dalam satu video yang dikongsi di TikTok.

Ketua Penerangan PKR itu berkata, beliau bimbang politik wang semakin menjadi-jadi.

Menurutnya pemberian itu seakan-akan dihalalkan dengan terma dan takrif tertentu.

“Tapi kita tahu ia satu bentuk sogokan supaya pengundi memilih satu-satu parti.

“Jadi saya mohon pihak berkuasa ambil tindakan segera menyiasat YAB DS Sanusi mengenai kenyataan beliau,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Media hari ini melaporkan, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah, berkata, menuntut balasan kerana pulang mengundi adalah perbuatan yang amat memalukan.

Ini kerana penyokong parti lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminta duit walaupun pulang dari luar negara.

“Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta,” kata Muhammad Sanusi.

“Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa (anda) RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasai (kerana) dia tau penting tanah ini untuk dikuasai.

“Kita bodoh, ligan (kejar) wakil rakyat minta RM50, tak bagi (ugut) tak mau balik dah. Hang bodoh, negeri ini orang nak amik dah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah PN Padang Serai, di sini, malam kelmarin.

Muhammad Sanusi berkata, sikap berkira tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pengundi PN. – MalaysiaGazette