Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media sebelum menyerahkan memorandum mengenai menggesa kerajaan membantu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja luar negara kepada wakil Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan membuat laporan polis membabitkan lebih 80 mangsa penipuan skim pelaburan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa adalah warga emas berketurunan Cina yang tinggal di Lembah Klang.

“MHO dimaklumkan mereka yang menjadi mangsa tersebut telah diperdaya oleh agen-agen pelaburan tersebut dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan.

“Apabila kita tanya mangsa bagaimana boleh terpedaya di dalam skim pelaburan ini mereka menyatakan bahawa mereka tertarik dengan tawaran pulangan yang tinggi dan ketika itu kebanyakan mereka berada dalam keadaan susah dan tidak bekerja semasa PKP,” katanya kepada MalaysiaGazette sambil menambah terdapat individu yang melabur sehingga RM4 juta.

Kata Hishamuddin, pelabur yang telah membuka akaun pelaburan perlu melakukan transaksi menggunakan matawang ‘crypto usd’ di platform yang disediakan.

Tambah beliau, ia memerlukan pelabur membuat bayaran insurans bagi modal yang akan dilaburkan bagi memastikan modal tersebut tidak hilang dan sebahagian keuntungan harus dibayar kepada syarikat tersebut.

Katanya, pada Julai dan Ogos lalu, para pelabur diarah menambah modal dan sekiranya gagal akaun pelaburan akan ditutup dan modal pula hangus.

Bagaimanapun, ujat beliau, setelah bayaran dibuat syarikat bertindak menutup akaun pelabur dan sehingga kini tiada maklumat mengenai pelaburan itu. – MalaysiaGazette