Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Musim bola sepak telah mendorong peningkatan jualan untuk televisyen bersaiz besar manakala musim tengkujuh menyebabkan jualan mesin pengering baju naik.

Selain itu, musim perayaan iaitu Natal dan Tahun Baharu Cina juga merangsang pembelian barangan elektrik.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia, Ng Chye Weng berkata, pasaran suram berlaku selama dua bulan sebelum ini apabila kenaikan harga barang menyebabkan pengguna lebih cermat semasa berbelanja.

Beliau berkata, peningkatan jualan kebelakangan ini bagaimanapun telah mengakhiri kesuraman tersebut.

“Musim Piala Dunia mendorong pelanggan komersial dan juga isi rumah membeli televisyen bersaiz besar untuk menikmati siaran perlawanan bola.

“Musim tengkujuh pula menyebabkan kenaikan jualan untuk mesin basuh yang mempunyai fungsi pengeringan. Selain itu, jualan pemanas air turut meningkat disebabkan musim hujan,” katanya kepada China Press.

Chye Weng menjangkakan pasaran akan kekal mempunyai momentum susulan musim perayaan pada Disember dan Januari.

“Pada akhir tahun, ramai syarikat akan mengadakan kenduri dan mereka menyediakan cabutan bertuah untuk pekerja.

“Hadiah cabutan bertuah adalah termasuk barangan elektrik dan ini juga menggalakkan jualan,” katanya. – MalaysiaGazette