Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.- Foto AFFAN FAUZI, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pelabur lebih yakin terhadap Malaysia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Anwar adalah menteri kewangan terbaik ketika memegang jawatan tersebut ketika era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mengulas kritikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin terhadap tindakan Anwar yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ahmad Zahid berkata, kritikan bekas Perdana Menteri itu tidak melihat kepada keperluan semasa yang memerlukan pengalaman dan kepakaran Anwar.

Presiden PKR itu katanya, dikenali sebagai berprestasi tinggi pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia yang pernah mengalami surplus budget iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.

“Anwar juga pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine dan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine.

“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.

“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan di media sosial.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, rekod yang dipegang Anwar dalam menguruskan kewangan negara tidak pernah dicapai oleh Muhyiddin.

Malah sebaliknya kata Ahmad Zahid, Muhyiddin sangat bermasalah menguruskan negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal ketika era pentadbirannya.

“Kini Muhyiddin berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Dan inilah beliau sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi perdana menteri hingga sanggup melanggar adat dan adab membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri,” kata Ahmad Zahid.

Muhyiddin semalam mempersoalkan tindakan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ini kerana Presiden PKR itu pernah menyifatkan ia sebagai amalam yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar.

Kata Muhyiddin, bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap Anwar apabila beliau berbohong kepada dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.-MalaysiaGazette