Liew Chin Tong

ISKANDAR PUTERI – Pakatan Harapan (PH) Johor tidak akan mencadangkan sebarang perubahan dalam komposisi eksekutif Kerajaan Johor biarpun gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Ketua Pembangkang DUN Johor, Liew Chin Tong berkata, PH berharap kerjasama dwipartisan antara Kerajaan Negeri dan pembangkang dapat dikukuhkan  demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“PH Johor menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu yang memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada BN.

“Dengan itu, PH Johor tidak akan mencadangkan apa-apa perubahan dalam komposisi Eksekutif Kerajaan Negeri.

“Namun mengambil kira keputusan PRU15, yang memperlihatkan kepada persefahaman yang membolehkan wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, PH Johor mencadangkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar memperkukuhkan kerjasama dwipartisan dengan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Belanjawan Johor 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini, hari ini.

Pada PRN Johor Mac lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan memenangi 40 aripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) 10 kerusi.

Chin Tong yang juga ADUN Perling berharap pembangkang akan diterima sebagai rakan strategi sebagaimana dilakukan Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Hasni Mohammad yang menggariskan peranan pembangkang sebagai rakan strategi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mencadangkan penubuhan Kaukus Ahli-ahli Parlimen Johor dengan penglibatan 24 Ahli-ahli Parlimen BN dan PH.

“Kaukus ini boleh dibantu oleh Kerajaan Johor melalui taklimat dan maklumat supaya semua Ahli-ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan Kerajaan Johor kepada Kerajaan Persekutuan.

“Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor serta belanjawan ini,” katanya. – MalaysiaGazette