ROMPIN – Dua laporan polis dibuat Perikatan Nasional (PN) Tioman terhadap calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Rompin, di sini, hari ini.

Difahamkan, laporan terbabit dibuat susulan janji yang dibuat penyandang kerusi DUN Tioman itu kepada masyarakat di Kampung Jawa Pantai, di sini, dalam pertemuan pada 30 November lalu yang disifatkan seolah-olah cubaan merasuah pengundi.

Menurut laporan media, Johari memberi jaminan kepada masyarakat kampung untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah mereka yang tertunggak dengan kadar segera sebelum 7 Disember ini.

Ia ekoran penduduk di kampung terbabit menyuarakan permintaan supaya beliau menyelesaikan isu geran tersebut jika mahu memperoleh undi daripada masyarakat di situ.

Dalam pada itu, Johari ketika ditemui selepas program Santai Petang bersama Nelayan, di sini, mengambil maklum berkenaan laporan dibuat ke atasnya.

“Dalam hal ini saya serahkan kepada pihak perundangan dalam kerajaan negeri Pahang serta parti untuk melihat lebih terperinci laporan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan perkara biasa dalam suasana berpolitik.

“Masing-masing akan membuat itu dan ini, mungkin juga perkara ini (laporan polis).

“Kita kalau nak buat laporan polis, banyak lagi laporan yang pihak kami boleh buat. Tapi kita nak tumpukan kepada pilihan raya.

“Biar kita buat kerja kita sahaja. Kita sekarang ni bukan masalah nak saman atau tak, buat laporan polis atau tak, yang lebih penting ialah kita nak memenangkan BN dan segera beri ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat jelata,” ujarnya. – MalaysiaGazette