Khairil Nizam Khirudin.-Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menuntut kepada Kerajaan Perpaduan agihan peruntukan yang sama kepada semua Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Jerantut yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, ia selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan yang dikemukakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, PN ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik di antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.

“Perkara ini juga termaktub di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang kini menerajui kerajaan campuran,” kata Khairil Nizam.

Tuntutan itu adalah satu daripada empat kriteria yang diutamakan PN sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

Empat kriteria tersebut merupakan janji PN kepada rakyat sebagai balasan kepercayaan yang telah diberikan pengundi kepada wakil rakyat parti tersebut.

“Janji ini akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun polisi-polisi yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur dalam tanggungjawab sebagai suara rakyat,” katanya.

Khairil Nizam menegaskan hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat.

Ia seperti yang diamalkan ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga wajib mengutamakan agenda transformasi institusi ParlimenĀ  seperti pemerkasaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa yang lain.

Ini bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat dengan menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

“PN akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan efektif untuk kami memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat dan negara.

“Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg tu manisfesto Pakatan Harapan…kerajaan ni bukan kerajaan Pakatan Harapan..ni Kerajaan Perpaduan..ada BN+ GPS…jd tak perlu bagi pun peruntukan sama rata…duit $600 billion Muhyidin sakau dah habis kaaa??

Comments are closed.