Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Dengan pengumuman senarai Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, teka-teki kini beralih kepada jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Sinchew Daily melaporkan, PH masih mempertimbangkan calon sesuai untuk jawatan itu, tetapi antara dua orang yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof.

Wan Junaidi pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat manakala Mohamad Ariff pernah menjadi Speaker.

Sumber berkata, kepakaran Wan Junaidi dalam bidang perundangan dan pengalaman beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang menjadikan namanya dicadangkan.

Selain itu, PH juga berpuas hati dengan prestasi Mohamad Ariff semasa beliau menjadi Speaker ketika pentadbiran kerajaan PH sebelum Langkah Sheraton.

Walau bagaimanapun, ketika dihubungi Sinchew Daily, Wan Junaidi berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenai spekulasi kemungkinan dirinya akan dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Wan Junaidi sebaliknya menyatakan sokongan kepada Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk terus menjadi Speaker Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff ketika dihubungi enggan memberi ulasan mengenai berita berbentuk spekulasi. – MalaysiaGazette