Pakej Perpaduan
Fahmi Fadzil.- Foto MUHD NA’IM, 05 DECEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan organisasi media bagi mengkaji keperluan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Meskipun mendokong kebebasan media dalam negara ini namun beliau berkata, cadangan berkenaan perlu dikaji secara terperinci dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Saya perlu faham cadangan secara keseluruhan konsepnya. Ini untuk memastikan kebebasan media bukan hanya aspek profesionalisme yang saya utamakan tapi juga kebajikan pengamal media,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi akan membawa cadangan berkenaan dalam perbincangan di antara kakitangan Kementerian Komunikasi Digital.

Untuk rekod, cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media dari seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpendirian cadangan berkenaan memerlikan perincian pelbagai aspek.

Ini termasuklah impak pelaksanaan kepada keselamatan, keharmonian dan kedaulatan negara perlu diteliti sebelum majlis berkenaan ditubuhkan. – MalaysiaGazette