Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra bersama pegawai sambil diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz selepas memeriksa perbarisan pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diteliti sebaik sahaja beliau memulakan tugas secara rasmi.

Jelas beliau, apa yang penting sekarang adalah fokus beliau memulakan tugas untuk bersama-sama kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Biar saya duduk dalam pejabat (Kementerian Pertahanan) sebelum apa gerak kerja dibuat untuk meneliti perkara itu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau tiba di Kementerian Pertahanan bagi memulakan tugas dengan mengimbas kad perakam waktu pada jam 3 petang.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Untuk rekod, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan yang dikeluarkan pada 4 ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fasa mobilisasi projek LCS selama enam bulan bermula Jun menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya akan memastikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan di Dewan Rakyat akan diteruskan di bawah kepimpinan baharu.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kertas putih tersebut akan menjadi teras kepada pelan pembangunan Anggota Tentera Malaysia (ATM).

“Keutamaan saya untuk bersama-sama dengan kepimpinan setiap perkhidmatan, KSU untuk kita pastikan Kertas Putih yang diluluskan Parlimen dapat dijayakan sebaik mungkin, kerana kertas ini untuk pertama kalinya saya diberitahu bahawa angkatan tentera kita telah bentangkan kertas putih pertahanan.

“Perancangan strategi iaitu tujuh teras disebutkan tadi, sedang dan telah dilakukan dan mereka mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa yang diketui KSU dan Panglima-panglima,” katanya lagi.

Pada 2 Disember tahun lepas, KPP dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat yang mana ia menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

KPP yang melibatkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global. – MalaysiaGazette