Senapang angin yang dimiliki seorang pekebun juga dirampas di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Sri Medan semalam.

BATU PAHAT – Seorang pekebun berusia 53 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki selaras senapang angin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, senapang angin berkenaan dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Sri Medan semalam.

“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan di bengkel berkenaan pada jam 1.15 tengah hari

“Hasil serbuan tersebut pihak polis merampas senapang angin serta peluru yang berada dalam sebuah kereta di bengkel berkenaan. Senapang angin tersebut dipercayai dibuat sendiri oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan ujian awal air kencing suspek didapati positif dadah.

“Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” kata beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette