Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh (dua kanan) memulakan tugas pada hari pertama beliau di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 05 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA –  Dr Zaliha Mustafa terbuka untuk menerima nasihat dan pandangan daripada bekas menteri-menteri terdahulu yang pernah menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya terbuka untuk bantuan, apa-apa cadangan, pandangan tentang perkara yang mungkin menteri-menteri sebelum ini lakukan dan berkaitan polisi.

“Tapi saya juga akan terima taklimat daripada kakitangan kementerian sendiri untuk melihat apakah polisi-polisi yang kita boleh terima pakai dan boleh diperbaiki atau mungkin nak ditolak kita pun tidak pasti, itu biasa di mana-mana kementerian,” katanya Menteri Kesihatan wanita pertama itu ketika ditemui pada hari pertamanya memulakan tugas di KKM hari ini.

Selain itu, menurut Dr. Zaliha, isu kesihatan yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak antara yang akan menjadi tumpuannya dalam kementerian berkenaan.

“Kita akan fikir tentang apa perkara-perkara yang berkait rapat dengan wanita dan kanak-kanak. Saya sebelum ini jadi Setiausaha Politik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jadi itu akan banyak membantu untuk tugasan saya di KKM,” jelas beliau.

Menyedari kementerian yang di bawahnya menjadi tumpuan, Dr. Zaliha bakan meletakkan seluruh komitmennya untuk mengetuai KKM.

“Akhirnya apa yang kita mahu adalah yang terbaik kepada rakyat. kementerian  ini pun sudah tentu menjadi tumpuan ramai sebab berkaitan dengan kesihatan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Sekijang (PKR) itu dilahirkan pada 16 Jun 1964 di Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (TIGS) sebelum meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Bharu pada 1981.

Pada 1982, beliau menyambung pengajian di Matrikulasi MRSM Seremban dan seterusnya ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1983.

Dr Zaliha memulakan kerjaya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Terdahulu, Menteri Kesihatan itu tiba di pejabatnya pada 8.30 pagi dan mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugasnya hari ini. – MalaysiaGazette