Keadaan lori yang terbakar selepas terjatuh dalam gaung di Kilometer (km) 265 Lebuhraya Utara Selatan.
IPOH –  Seorang lelaki maut setelah lori yang membawa muatan diesel yang dinaikinya jatuh ke dalam gaung sebelum terbakar di Kilometer (km) 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.52 pagi.

“Kenderaan itu jatuh ke dalam gaung dan terbakar dan seorang mangsa lelaki telah maut di lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dan penyelamatan masih berjalan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. – MalaysiaGazette