KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah kehilangan RM7.7 juta setelah digertak individu-individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat keterlibatan beliau dalam skandal tempahan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shokor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga emas mengenai insiden yang berlaku pada 18 Mei lalu semalam.

Tambah beliau, dalam aduannya wanita yang merupakan ejen hartanah berusia 66 tahun itu menyatakan telah menerima panggilan dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai KKM.

“Suspek memberitahu mangsa wanita itu bahawa dia memanggil dari Bahagian Khidmat Pelanggan Cawangan Putrajaya dan siasatan awal mendapati suspek dalam kes ini telah menghubungi mangsa dan menyatakan bahawa terdapat 52 dos Vaksin Sinovac telah dimohon atas nama pengadu secara tidak sah dan satu tindakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak KKM.

“Mangsa dakwa panggilan itu kemudian telah disambungkan kepada ‘Polis DiRaja Malaysia’ di mana dalam perbualan tersebut, suspek memaklumkan bahawa terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank tempatan yang baru serta menyerahkan kesemua maklumat tujuh akaun bank tersebut kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Amihizam, suspek mengarahkan mangsa agar membuat transaksi pemindahan wang simpanan berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun baharu yang dibuka itu.

Tambah beliau, mangsa melakukan semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) setelah selesai memindahkan wang simpanannya ke dalam tujuh akaun yang diarahkan suspek dan mendapati wang tersebut telah dikeluarkan.

Katanya, mangsa yang rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya membuat laporan polis.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette