Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Nafuzi Zain akhirnya diumumkan Ketua Jurulatih baharu Kedah Darul Aman FC (KDA) musim depan selepas berbulan-bulan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab utara tanah air itu.

Pelantikan jurulatih berusia 44 tahun itu diumumkan media sosial rasmi KDA FC, di mana majlis menandatangani kontrak yang disempurnakan oleh pemilik majoriti kelab, Tan Sri. Dr. Mohd Daud Bakar hari ini.

Nafuzi menggalas tugas berat untuk mengembalikan kegemilangan Kedah musim depan selepas cemerlang sepanjang enam musim bersama Terengganu FC.

Sepanjang membimbing Terengganu dari 2018 hingga 2022, banyak pencapaian luar biasa dan membanggakan yang telah dikecapi Nafuzi.

Beliau dan Terengganu menikmati satu musim yang amat cemerlang tahun ini apabila menempatkan Sang Penyu muncul naib juara Liga Super 2022, sekali gus meraih tiket Piala AFC 2023.

Terengganu juga muncul naib juara Piala FA selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Ketika zamannya sebagai pemain, beliau pernah menyarung jersi skuad Hijau Kuning dari 2007 hingga 2009 sebelum menyertai Kelantan. – MalaysiaGazette