ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi perhatian terhadap isu kenaikan mendadak harga anak ayam, dedak dan telur di negara ini.

Ketua Biro Kepenggunaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Afiqah Mohammad berkata, harga beras tidak mengalami kenaikan secara mendadak.

Menurut beliau, belum timbul isu beras disorokkan sehingga menyebabkan rakyat tidak mampu membeli bahan makanan itu.

“Jemput untuk diteliti, siapa taikun-taikun di sebalik kenaikan harga anak ayam, harga dedak dan harga telur.

“Jangan pula ‘gajah di pelupuk mata tidak terlihat, semut di seberang pantai nampak jelas’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara ini.

Anwar turut menyatakan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengumumkan harga baharu telur yang lebih rendah dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, Afiqah mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Anwar kerana cakna dengan harga telur dan ayam yang meningkat.

Beliau menambah, janji kerajaan untuk menurunkan kos kehidupan amat dekat di hati rakyat dan pihaknya berbesar hati memerhatikan perubahan-perubahan yang dibawa.

“Kami melihat, jalan terbaik untuk membetulkan keadaan ini adalah melalui mekanisme pengawalan dan penguatkuasaan garis panduan undang-undang yang telah digubal untuk tujuan tersebut.

“Yang paling utama ialah pelaksanaan undang-undang itu sendiri melalui kawal selia yang efektif dan berkesan,” jelasnya.

Afiqah memberitahu, secara teorinya, semakin tinggi kos sara hidup, semakin kurang kuasa beli pengguna manakala kesan dan kadar inflasi yang tinggi akan memberikan impak negatif kepada pengguna di negara ini di mana ia menyumbang kepada kenaikan harga makanan dan keperluan harian.

Menurut beliau, perkara itu turut memberi kesan kepada masalah sosial ekonomi seperti penyeludupan dan penyorokan produk keperluan harian dalam pasaran.

“Sebagai contoh, baru-baru ini negara dilanda masalah telur yang tidak mencukupi di dalam pasaran, sekaligus menganggu perusahaan lain yang mempunyai kebergantungan kepada telur.

“Tidak lama selepas itu, muncul isu telur-telur lama memasuki pasaran yang mengiyakan dakwaan bahawa stok telur disorok oleh kartel untuk meninggikan harga telur dalam pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan lebih fokus dalam meneliti masalah kartel ayam, telur, baja dan lain lain komoditi rantaian makanan di negara ini.

Afiqah berpendapat, terutamanya bagi isu ayam dan telur, isu pokok perlu ditangani dahulu, iaitu melalui pengawalan harga dedak import dan sokongan aktif kepada pasaran dedak tempatan.

Beliau berkata, kebergantungan yang tinggi kepada dedak import telah membawa kepada monopoli import bagi industri berkenaan di negara ini.

“Tindakan pasif kerajaan sebelum ini, selama ini secara tidak langsung, mengakibatkan harga kos dedak pengeluar tempatan tidak berdaya maju serta sukar untuk bersaing di dalam pasaran tempatan,” jelasnya.

Pada jangka masa panjang, Afiqah berkata, apa yang lestari dan berkekalan adalah struktur industri makanan yang dinamik dan bertumbuh.

Menurut beliau, masalah struktur dan sistemik yang membatasi kemajuan sektor ini dalam dekad-dekad yang lepas perlu diperbaiki, antaranya sokongan kerajaan kepada industri-industri yang terlibat secara tidak langsung kepada industri makanan.

“Contohnya, sekiranya negara kita berkebolehan untuk menghasilkan dedak ayam ataupun pallet melalui hasil kajian dan kerjasama dengan nama-nama besar seperti Felda, Felcra atau Risda, ini semestinya dapat memastikan harga ayam dan telur dan lain-lain komoditi untuk terus berada di peringkat terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette