Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan pilihan raya negeri (PRN) selepas habis penggal pada tahun hadapan.

Beliau berkata, pembubaran DUN secara serentak di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Kelantan dapat menjimatkan kos dan memudahkan pengundi mendapatkan cuti.

“Antara yang kita bincang secara tidak rasmi ketika bertemu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang terbaru ini, alhamdulillah mereka (Menteri Besar) semua nampak bersetuju untuk kita sekali bersamalah (bubar DUN serentak) tetapi itu di peringkat Menteri Besar.

“Kita ada Presiden, Timbalan Presiden parti, dan parti lain juga ada presiden masing-masing yang perlu dirujuk jadi bagi kami (Menteri Besar) di peringkat awal ini telah memberikan kata putus akan bersama dan mesej ini akan disampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR itu berkata, beliau percaya kedudukan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang membentuk gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN), bagi menghadapi PRN akan datang akan ditentukan tidak lama lagi.

“Sebelum berlangsung persidangan Parlimen, akan ada mesyuarat parti-parti, di situ kita akan tahu hala tuju PH bersama rakan-rakan yang turut bersama menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Ayuh PN, lipatgandakan usaha, P Serai telah membuktikan rakyat telah menolak kerajaan minoriti DAP/PH, momentum itu dijangka berterusan. InsyaAllah N Sembilan akan menjadi milik kita. Jom tekadkan niat dan sama2 istiqamah.

Comments are closed.