Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menerima elaun atau keistimewaan sepanjang dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Sebaliknya, sepanjang tempoh itu beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli.

”Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan. Beliau juga tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut,” kata Juwairiya yang juga ADUN Bukit Melawati dalam satu kenyataan.

Lantaran itu, katanya, dakwaan Anwar menerima bayaran RM15 juta ketika menjawat jawatan itu adalah fitnah.

Juwairiya Zulkifli

“Perkara itu sudah dinafikan berulang kali termasuk jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

“Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional ketika ceramah kempen di Padang Serai yang mendakwa Datuk Seri Anwar menerima bayaran RM15 juta itu adalah sekadar pengulangan fitnah,” tambahnya.

Tambahnya, perkara berkenaan juga tertera dalam hansard Dewan Negeri Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh Ahli Dewan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Juwairiya menyifatkan PN sudah muflis modal politik dan terkeluar daripada nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan.

”Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan.

”Saya percaya di pihak YAB Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik. – MalaysiaGazette