Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sememangnya sangat dangkal dan jauh meleset, kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya.

Beliau mempersoalkan, bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaannya sebagai sekadar ‘membayangkan’ wujudnya penerimaan dana tersebut dan bukannya daripada bukti yang jelas dan nyata.

“Usah jadikan kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU ke-15 sebagai Kerajaan Pak Pandir.

“Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu.

“Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malah Ahmad berkata, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat Pakatan Harapan (PH) mencecah RM3.43 bilion pada 2019, tertinggi sejak tahun 2010.

“Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini?

“Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden Intemational Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU ke-14 yang lalu,” tambahnya.

Jelas Ahmad lagi, dakwaan Anwar itu lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing.

Ironinya kata beliau, masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya.

Tegasnya, DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN dan Pas untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri di atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu. – MalaysiaGazette