tommy AIAC
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa bukan sahaja campur tangan dalam melantik hakim tertinggi di negara ini malah turut terlibat melantik ketua timbang tara Malaysia.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Tommy menggunakan kuasanya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk memangsakan pesaingnya, Prof. Datuk Dr. N. Sundra Rajoo dengan mendakwanya kerana rasuah dan memecatnya sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Menurut beliau, kemudian Tommy terus menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik rakan dan bekas rakan niaganya, Vinayak Prabhakar Pradhan sebagai pemangku Pengarah AIAC.

“Ya, itu adalah masa gelap ketika Pakatan Harapan (PH) bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tommy boleh melakukan apa sahaja untuk mengawal keseluruhan sistem undang-undang dengan rakyat mereka.

“Dan Dr. Mahathir mempunyai rekod yang panjang dalam memanipulasi sistem keadilan di Malaysia. Kali ini PH dan DAP turut membantunya.

“Mana-mana kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti membersihkan sistem dan menghapuskan segala kesan manipulasi mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, kes jenayah yang difailkan oleh Tommy semasa beliau menjadi Peguam Negara terhadap Sundra Rajoo menggambarkan betapa jahatnya beliau.

Beliau menambah, apa yang diberitahu orang ramai ketika Tommy dan Dr. Mahathir bermaharajalela adalah Sundra Rajoo didakwa atas tuduhan rasuah kira-kira RM1 juta dana milik AIAC.

“Tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah Sundra Rajoo mengarang buku tentang timbang tara dan salinan dibawa oleh AIAC untuk dijadikan buku rujukan.

“Oleh sebab itu, dia didakwa atas penyelewengan RM1 juta dana pusat kerana Sundra Rajoo akan menerima royalti hasil daripada penjualan buku kepada pusat itu,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Sundra Rajoo telah lama memulangkan semua royalti yang diterimanya kepada pusat itu.

“Dan apa salahnya Pusat Timbang Tara membeli buku timbang tara yang dikarang oleh penimbang tara yang diiktiraf untuk digunakan sebagai teks rujukan walaupun penulis masih bersama pusat itu?” soalnya.

Menurut beliau, walaupun Sundra Rajoo mempunyai imuniti sebagai penimbang tara antarabangsa, Tommy masih mendakwanya dan memecatnya sebagai pengarah.

“Tidak perlu dikatakan, kerajaan kehilangan semua kes terhadap Sundra Rajoo dan dia dibebaskan,” katanya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, kini Sundra Rajoo menyaman Tommy dan kerajaan dalam saman pendakwaan berniat jahat RM3.75 juta.

Menurut beliau, Tommy telah tewas pusingan pertama pada Julai lalu kerana dakwaannya bahawa beliau menikmati imuniti atas tindakannya sebagai Peguam Negara telah ditolak oleh mahkamah dan kes itu kini akan dibicarakan sepenuhnya.

Katanya, pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan dalam buku Tommy juga menemui contoh penyalahgunaan kuasa oleh bekas Peguam Negara itu, apabila beliau menuduh Sundra Rajoo melakukan rasuah berdasarkan surat tanpa nama.

“Selain itu, banyak masa dan wang Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mahkamah telah dibazirkan untuk pertuduhan jenayah yang AGC berulang kali kalah,” katanya. – MalaysiaGazette