Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan insentif yang telah diumum melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023.

Menurut kongres berkenaan, antara inisiatif yang wajar dikekalkan adalah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 dan Gred 56; kenaikan kadar maksimum award wang tunai (Gantian Cuti Rehat) daripada 160 hari ke 180 hari dan tambahan kadar cuti rehat khas sebanyak lima hari untuk pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Tambah Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, tambahan kadar cuti rehat khas sebanyak lima hari untuk pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun juga perlu dikekalkan selain cuti tanpa rekod untuk kematian adik-beradik.

“Selain itu perlu dikekalkan tambah baik kadar tetap 3 peratus semasa bagi pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada satu kadar baharu dan bantuan khas kewangan sebanyak RM700 (Gred 56 kebawah) dan RM350 untuk pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Adnan, insentif-insentif berkenaan wajar dikekalkan demi menjaga kebajikan penjawat awam yang terhimpit dengan isu peningkatan harga barangan dan kos sara hidup lain.

“Insentif ini telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam dan adalah tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana berlakunya perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan.

“CUEPACS tidak mahu perkara yang sama terjadi pada tahun 2018 dahulu apabila banyak perkara yang dijanjikan oleh kerajaan untuk penjawat awam tidak dilaksanakan hanya kerana disebabkan perubahan kepimpinan yang membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Tambah Adnan, pihaknya turut berharap supaya kerajaan dapat menambah baik sistem perkhidmatan awam dan insentif sedia ada yang diterima penjawat awam termasuk Sistem Saraan Malaysia (SSM).

“Umum sedia maklum bahawa kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam adalah berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002 yang hanya ditambahbaik apabila Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 2012 dibatalkan.

“Sistem saraan baharu ini harus segar dan sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara dengan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan. Langkah ini sesuai dengan sasaran kerajaan melalui RMK10 untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut memohon pemberian bonus kepada penjawat awam terutamanya di peringkat Persekutuan.

“Kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu hanya bantuan khas kewangan yang diberikan.

“Besarlah harapan warga penjawat awam agar Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS,” kata Adnan lagi.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan meneliti semula Bajet 2023 yang akan dibahaskan pada tahun depan untuk kelulusan.

Dalam masa yang sama mini bajet akan turut dibentangkan pada 19 Disember ini khusus untuk emolumen penjawat awam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast