QATAR – Kapten Belgium, Eden Hazard mengucapkan selamat tinggal buat pentas bola sepak antarabangsa selepas mengumumkan persaraannya selepas The Red Devils gagal ke pusingan kalah mati kejohanan Piala Dunia 2022.
Pada aksi di Qatar ketika peringkat kumpulan, Hazard beraksi selama 60 minit pada dua perlawanan awal bertemu Canada dan Maghribi manakala hanya dimasukkan pada lewat permainan aksi terakhir menentang Croatia.
Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat disumbangkan oleh Hazard sehingga menyaksikan Belgium terpaksa pulang awal buat pertama kali.
“Satu halaman muka surat sudah bertukar pada hari ini. Terima kasih atas kasih sayang anda.
“Terima kasih atas sokongan anda yang tiada tandingan. Terima kasih atas semua kebahagiaan yang dikongsikan sejak tahun 2008.
“Saya telah memutuskan untuk menamatkan kerjaya antarabangsa saya. Penggantinya sudah bersedia. Saya akan merindui awak,” katanya di Instagram miliknya.
Belgium mencatatkan prestasi terburuk di Qatar sejak pasukan itu dibarisi dengan generasi emas seperti dicanangkan sebelum ini bermula Piala Dunia 2014 di Brazil.
Edisi 2014 menyaksikan mereka layak ke suku akhir manakala empat tahun di Rusia pula Belgium berjaya mendapat tempat ketiga.
Sepanjang 14 tahun bersama skuad kebangsaan Belgium, Hazard telah membuat 126 penampilan dengan menjaringkan 33 gol serta mencipta 36 bantuan gol.
Ketika usianya baharu memasuki 31 tahun, keputusan yang diambil Hazard itu dilihat tepat tatkala persembahannya pada ketika ini cukup terumbang-ambing selepas mengalami pelbagai kecederaan sebaik sahaja menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan 2019/20.
Ia sedikit sebanyak boleh memberikan ruang sepenuhnya kepada Hazard untuk mendapatkan kembali persembahan terbaik sepertimana dipamerkan ketika musim gemilangnya sewaktu menyarung jersi Chelsea. – Agensi