Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika bercakap pada sidang media selepas selesai membuat lawatan kerja ke Prasana Malaysia Berhad di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan lengkap insiden 16 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bulan lalu akan siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan itu akan diumumkan kepada orang ramai secara terbuka bagi mendedahkan apa yang berlaku dalam insiden tersebut.

Beliau berkata, laporan itu sedang disiapkan oleh badan penyiasatan bebas iaitu WSP.

“Selain diumumkan secara terbuka, laporan insiden ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri.

“Ia bagi membolehkan semua pihak mengetahui apa punca insiden dan apa pelan tindakan dan perkhidmatan mengenai LRT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan barisan kepimpinan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad.

Bulan lalu, sejumlah 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC).

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Penggantungan sementara itu diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang dperlukanl untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ketika itu hanya beroperasi dari stesen Gombak ke stesen Damai serta dari stesen Lembah Subang ke stesen Putra Heights. – MalaysiaGazette